Nasi ayam ialah menu harian yang mudah kita jumpa kat Malaysia. Rasanya semua kaum menggemari nasi ayam. Dan menu ini mudah didapati di restoren, gerai atau pasar malam. Banyak peniaga mencari makan dengan menjual nasi ayam tapi banyak nasi ayam yang dijual tidak menepati piawaian dan standard nasi ayam yang sepatutnya. Ada pula yang salah diberi nama. Letak signboard Nasi Ayam Hainan tetapi nasi ayamnya ialah nasi ayam biasa, nasi kuning dan ayam digoreng. Sedangkan Nasi Ayam Hainan ialah nasinya berwarna putih dan ayamnya direbus. Jadi Kekny berharap sangat peniaga yang berniaga nasi ayam dapat baca tips dan rahsia nasi ayam sedap ini supaya korang dapat menghasilkan nasi ayam yang berkualiti, sedap, digemari pelanggan dan laku keras. Dapatlah jana pendapatan lebih dengan lebih berkat sebab kita menjamu dengan masakan yang berkualiti bukan sekadar asal ada sahaja.
Memang ada banyak version sebenarnya nasi ayam ni. Tetapi janganlah salah bagi nama, nanti kecewa orang yang nak makannya. Ada Nasi Ayam Hainan dimana ayamnya direbus dan tidak digoreng. Ada juga Nasi Ayam Berempah, dimana ayamnya diperap rempah dan digoreng garing. Ada juga nasi ayam versi kukus, nasinya dikukus dan dihidangkan dengan ayam panggang. Haa nasi ayam panggang atau nasi ayam golek juga sedap. Apa pun jenis nasi ayam yang korang masak atau jual biarlah sedap dan lengkap rasa dan bahanya. Jangan nama sahaja gah tapi rasa hampeh!
Tapi versi biasa kita jumpa ialah nasi ayam biasa yang ayamnya digoreng. Dan faktanya tahu tak kebanyakan nasi ayam jenis ni di Malaysia ni gagal memenuhi piawaian dan standard seorang blogger masakan yang bernama Eny Abdullah. Hahahahaha. Ini kerana kebayakan nasi ayam di malaysia ni masalahnya sama sahaja iaitu, nasinya kurang perisa nak kata nasi ayam ke nasi biasa yang warna kuning saja, kurang rasa halia, tekstur nasinya kering dan adakalanya terlalu lembik.
Untuk ayam pula masalah biasa ialah ayam tu terlalu kering, digoreng lama sampai keras kejung baling dinding pun retak, dan rasa seperti ayam goreng biasa sahaja. Begitu juga dengan sos cilinya ada yang pakai sos cili botol yang dibancuh air, kicap pula sekadar dilarutkan air dan kuah sup yang tawar atau terlebih masih. Kadang-kadang dari beli Kekny memilih masak sendiri nasi ayam. Puas hati kan.
Ciri Nasi Ayam Yang Sedap Dan Sempurna
Nasi ayam ialah menu ringkas. Kesedapannya bergantung kepada semua elemen yang ada dalam sepinggan nasi ayam iaitu Nasi yang ditumis wangi dengan keharuman halia, ayam gorengnya yang berjus dipotong nipis dengan kerangupan kulit ayam yang berwarna perang, sup yang lengkap rasanya, tak cair tak pekat, ditabur daun sup, bawang goreng dan paling sedap diletak parutan kobis dan carrot, dan sos cili yang seimbang rasa pedas, masam dan manis serta sos kicapnya yang manis manis masin begitu. Jika salah satu atau lebih antara elemen ni tak menjadi maka rosaklah sepinggan nasi ayam tu. Ianya hidangan simple yang setiap dari elemen tu bergantung kepada elemen yang lain untuk menjadi sedap. Kita bukan bercakap tentang lauk pauk seperti kari dan masak lemak yang mana kita pilih salah satu lauk tu pun dah cukup sedap tak perlu lah 2 atau 3 jenis lauk lagi pun tak apa. Tapi nasi ayam tetap perlukan nasi, ayam, sup dan sosnya yang sedap. Titik!
Tips Nasi Ayam Sedap
Nasi ayam yang sedap bergantung kepada nasinya yang lembut, cukup rasa lemak, halia dan bawangnya. Caranya mudah, guna air rebusan ayam atau tulang ayam untuk tanak nasi. Guna halia dan bawang yang secukupnya, dikisar dan ditumis dalam nasi baru berasa orang kata.
Ayam yang sedap pula perlu direbus sekadar lembut, kemudian diperap dengan madu, kicap, bawang putih tumbuk, halia tumbuk, bawang merah tumbuk, lada sulah. Perap lama sikit supaya rempah-rempah masuk kedalam isi kemudian baru digoreng sekejap sahaja dalam minyak banyak (deep fried) sehingga warna kulit menjadi warna perang. Ingat ya ada bezanya kita goreng deep fried dengan goreng biasa. Tujuan kita rebus dahulu ayam ialah kita nak minimakan masa gorengan supaya ayam kekal lembut dan berjus.
Ada orang guna lemak dan kulit ayam untuk mendapatkan rasa ayam yang sedap pada nasi. Caranya kulit dan lemak ayam yang dikumpul masa kita besihkan ayam tu kita buat tumis dengan minyak. Dah cair baru masukkan bawang kisar dan bahan lain. Ini pilihan masing-masing. Bagi Kekny tak salah guna lemak ayam, bahan semulajadi dari ayam. Lebih baik dari kita menggunakan bahan tak semulajadi seperti bahan perasa atau kiub ayam yang tinggi MSG dan garamnya.
Cara gorengan ayam juga memainkan peranan penting. Kalau goreng deep fried, isi ayamnya masih juicy didalam. Sebab cara ini memerangkap jus dan air ayam didalam. Kalau kita goreng minyak sedikit macam kita goreng ikan atau ayam goreg kunyit biasa tu, kena goreng lama-lama dan ayam mudah kering dan keras isinya. Sebaiknya ayam tidak dipotong kecil, boleh goreng terus seekor ayam yang dah diperap atau sekadar dibelah dua sahaja. Bila nak nak makan baru potong kecil dan nipis isi ayamnya. Barulah jus dalam isi ayam tak keluar dan kering.
Untuk kuah sup nasi ayam selepas diambil separuhnya dibuat masak nasi, tambah air sikit dan terus rebus sup bersama bunjut (boleh juga masuk awal bunjut ni semasa rebu ayam tadi lebih sedap) sehingga sup menjadi lebih terasa. Boleh tambah bawang kisar sedikit nak beri rasa manis dan tambah parutan lobak merah dan kobis. Sedap tau tambah 2 sayur ni. Masukan waktu akhir sekali ya dan tabur daun sup sekali serta bawang goreng. Tutup. Wangi sup kau nanti. Nak hidang tu taburlah lagi baru bertambah sedap hehehe.
Sos cili nasi ayam perlulah guna cili segar ye bukan cili sos. Atau kau boleh je tambah cili sos kedalam kisaran cili tu pengganti gula dan cuka. Kalau Kekny memang kisar cili, gula, cuka atau jus limau, garam sedikit dan kemudian masak sehingga mendidih dan tutup api. Nak pekat boleh tambah bancuhan tepung jagung.
Sos kicap nasi ayam pula sangatlah mudah nak buat. Kau ambil sup ayam tadi dan gaulkan dengan kicap pekat manis dan didhkan kejap atas api. Tambah lah sos tiram sedikit dan banchan tepung jagung bagi yang suka kicapnya sedikit likat. Kekny suka juga tambah minyak bawang putih dan minyak bijan dalam kicap. Masyallah bila cecah ayam tu ralit saja.
Ok bagi yang nak resepi nasi ayam bole tengok dibawah ye..
Nasi Ayam Sedap Eny Abdullah
Bahan-bahan1 ekor ayam potong 2 atau 4 dan rebus sehingga masak.
4 cawan beras siam atau beras biasa
5 cawan air rebusan ayam (ada guna sukatan air sama dengan beras, ikut beras apa korang guna, kekny suka nasinya yang lembut jadi tambah air lebih secawan)
Bahan tumis nasi ayam
1 ketul sederhana halia
10 ulas bawang putih kisar
1 ulas bawang besar kisar
Sedikit kulit dan lemak ayam
Sedikit minyak masak
3 helai daun pandan
Buah pelaga, kulit kayu manis, bunga lawang
Cara masak nasi seperti ditunjukkan dalam video ya. Senang sangat.
Resepi Ayam Goreng Nasi Ayam
Bahan-bahanAyam yang kita dah rebus diatas
Bahan perap ayam:
2 sudu besar madu
4 sudu besar kicap manis
4 sudu besar sos tiram
4 ulas bawang putih tumbuk
1 inci halia tumbuk
sedikit minyak bijan
sedikit lada sulah
Garam jika perlu
Cara sediakan ayam goreng nasi ayam
Perap ayam yang direbus tadi selama 1 jam atau lebih.
Panaskan minyak dan goreng sekejap sahaja ayam tadi. Hanya untuk biar kulit ayam bertukar ke warna keemasan dan gelap je. Tak perlu goreng beria ia sebab dalam isi ayam tu dah masak kan.
Bila nak hidang, potong ayam kecil dan curahkan sos kicap keatas ayam.
Bahan sos kicap nasi ayam
1 sudu teh serbuk lada sulah
5-6 sudu besar kicap pekat
1 sudu teh minyak bijan jika suka
1 cawan air rebusan sup ayam
Campur semua dan didihkan sekejap. Boleh tambah bancuhan tepung jagung jika nak pekatkan.
Bahan sos cili nasi ayam
6 biji cili merah
1 sudu besar gula (atau lebih jika nak manis)
1 sudu besar cuka atau perahan jus limau
2 inci halia
3 ulas bawang putih
Air secukupnya ikut kepekatan
Garam secukup rasa
Kisar semua bahan diatas sehingga halus. Panaskan sehingga mendidih dan boleh tambah sedikit bancuhan tepung jagung jika nak sos sedikit pekat.
Boleh tengok video kat bawah ya
Penafian
Pandangan diatas ialah pandangan peribadi penulis, Eny Abdullah melalui pengalaman beliau menikmati nasi ayam di serata negeri di Malaysia. Isu dan kupasan yang ditulis tidak ada kena mengena dengan sesuatu restoren atau perniagaan secara khusus. Ianya pendapat secara am dan tips yang diberi juga secara am. Harap maklum.
6 Comments
sedapnya kak..my favourite ni nasi ayam
ReplyDeleteperghhh
ReplyDeleteserious nampak sedap
betul..nasi ayam nih sebenarnya nampak simple tapi semua benda2 dia kena sedap
kalau tidak rasa spoil
hehehe
Saya suka dengan resepi diatas. Memang resep masakan paling sedap ni.
ReplyDeleteTerima kasih ats resepi. Saya nak cuba. insyaAllah nampak sedap2
ReplyDeletenampak gayanya kena try masak versi yang ni pulak... thanks admin :) luv ya
ReplyDeleteharini sis nak masak nasi ayam dengan menu @ resepi ni.. tq admin share menu
ReplyDelete