Kekny sememangnya penggemar Kimchi. Taklah makan selalu, tapi jika teringin betul betul baru buat. Kat rumah ni adik adik pun suka. Kimchi paling sedap makan dengan mee segera goreng atau mee segera kari. Fuhh terangkat habis lah. Patut orang Korea makan Ramyeon je mesti ada Kimchi. Tapi depa ni segalanya Kimchi kan. Kimchi dah macam makanan ruji padahal ianya sekadar jeruk atau side dish. Ok jom Kekny nak share resepi Kimchi yang sangat mudah, murah dan bersih serta terjamin halal!
Buat Sendiri Kimchi, Murah Sedap dan Bersih
Kekny pernah share resepi Kimchi ni dulu kat SINI dan SINI. Kali ini Kekny dah tambah baik resepi supaya lebih sedap.
Apakah Kimchi
Kimchi dihidangkan dengan Beef Bulgogi KLIK untuk Resepi Beef Bulgogi
Bagi yang tak tahu, kimchi ialah sejenis hidangan sampingan korea iatu terdiri daripada sayur yang dijeruk dan kemudian digaulkan dengan pes lada. Kimchi boleh terdiri dari pelbagai jenis sayuran iaitu lobak putih (daikon radish), timun, daun bawang atau kucai. Tetapi yang selalu dibuat ialah kimchi dari kobis Napa (kobis panjang) dan lobak putih. Rasa kimchi sedikit masin, masam (jika diperam lama dan ada yang sedikit manis. Kimchi juga boleh disediakan segera dimakan contohnya kimchi timun dan daun bawang. Hanya gaulkan dengan garam dan sedikit gula, dan kemudian digaul dengan pes cili dan orang korea suka campurkan sirap air gula untuk memberi rasa manis dan mengurangkan pedas pes cili didalam kimchi. Selain itu bawang putih dan halia juga digunakan dalam resepi kimchi
Kebaikan Kimchi
Kimchi ni sebenarnya bukan sekadar makanan jeruk atau diawet. Kita mungkin akan salah sangka bahawa kimchi ni tak bagus untuk kesihatan kerana kandungan garam dan gula yang mungkin tinggi. Tetapi kimchi mempunyai unsur probiotik yang bagus untuk badan kita. Kimchi dikatakan mempunyai antioksidan untuk menyembuhkan kanser, penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Kandungan flavoinids dan probiotik yang tinggi dalam kimchi mampu melawan penuaan, menguatkan immune system dan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan kita. Sebab tu orang korea ni lawa-lawa dan cantik kan hehehe..
Resepi Kimchi Halal Dan Mudah
Bahan-bahan Resepi Kimchi
1 biji kobis panjang, dibelah 2 atau 4 memanjang. Saya belah 4
1/2 cawan garam halus timbang (bukan garam halus dalam pack beli kat supermarket tu)
2 biji lobak merah - dihiris menjadi batang mancis
1 ikat daun bawang, dipotong memanjang
1/2 cawan serbuk cili merah - saya paka brand Faiza
Bahan bubur / kanji Untuk Resepi Kimchi
3 sudu besar tepung beras
2-3 sudu besar gula
1 cawan air
Bahan kisar Untuk Resepi Kimchi
1 ulas bawang besar kuning
1 biji pear gong (pear kulitnya warna emas) - boleh juga pakai 2 biji pear kuning biasa
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1 sudu besar udang kering tanpa kulit ( boleh juga gantikan dengan ikan bilis)
2-3 sudu besar gula (ikut kemanisan)
1 sudu besar sos ikan
Penyediaan kobis jeruk untuk Resepi Kimchi
Kobis dibersihkan. Sapu garam pada setiap helaian kobis. Tetapi jangan ceraikan kobis tu dari pangkal bawah ya. pastikan setiap bahagian kobis kena garam. Biarkan selama 5 jam. Kobis akan mengecut dan layu.
Selepas 5 jam, cuci semua garam dari kobis. Rasa kobis tu, jika masih masin, cuci lagi. Lepas cuci, perah air dari kobis sehingga kobis kering. Tapis dan biarkan seketika.
Nak senang tengok video yang saya upload di You Tube ni
Penyediaan kanji Kimchi
Kacau rata tepung pulut dan air bersama gula. Masak sekejap sehingga pekat dan jadi seperti bubur. Jika terlalu pekat tambah air sedikit.
Penyediaan bahan kisar
Masukkan semua bahan kisar kedalam mesin pengisar. Masukkan bubur/kanji yang dimasak tadi setakat boleh pusing je mesin pengisar tu. Jangan masukkan semua ye. Masukkan panas-panas pun takpa.
Kisar sehingga semua bahan halus.
Cara penyediaan kimchi
Dalam mangkuk, satukan bahan kisar dan serbuk cili. Gaul rata. Jika tawar tambah sedikit garam dan sedikit gula. Tetapi jangan terlalu masin kerana kobis tadi sudah sedikit masin. Gula pula untuk mengaktifkan bakteria. Jika terlalu pekat, boleh tambah lagi lebihan bubur/kanji tadi
Masukkan juga lobak merah dan daun bawang kedalam bahan sos kimchi tadi. gaul rata. Sos kimchi kini sedia disapu pada kobis
Ambil kobis jeruk yang diperah, sapu sos kimchi pada setiap helaian kobis sehingga semua bahagian dilumuri dengan sos. Masukkan kedalam bekas bertutup dan biar sehingga 1-2 hari sehingga kimchi menapai.
Selepas nampak ada naik sedikit buih. kimchi sedia diamakan. Jika kimchi dah rasa masam sedikit, bolehla masuk dalam peti sejuk bagi memperlahankan atau menghentikan proses penapaian supaya kimchi tak terlalu masam jadinya.
2 Comments
ammi simpan resipi ni.. both ammi & husband mmg suka kimchi tapi anak2 ni taktaulah pulak. nanti bolehlah try buat sendiri
ReplyDeleteWah menarik resepi nih boleh buat sendiri kimchi dekat rumah. Saya memang peminat kimchi dan makanan korea. TQ sis..
ReplyDelete